Ekonomi - 2017 : Kos sara hidup 'dijangka' meningkat

No comments
 (Ekonomi)
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan kos sara hidup pada tahun ini meningkat berikutan beberapa isu peningkatan harga barangan.
Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu supaya ia tidak memberi kesan yang besar dalam kehidupan seharian.
“Selain isu peningkatan harga barangan, nilai mata wang negara yang rendah juga akan memberi kesan.
“Apatah lagi, sebagaimana laporan persatuan majikan, mereka turut menjangkakan lebih ramai pekerja akan diberhentikan. Jadi rakyat perlu bersedia,” katanya, semalam.
Kelmarin, Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam menjangkakan harga runcit petrol RON95 dan diesel meningkat Januari ini berikutan harga pasaran minyak mentah dunia mencatat peningkatan pada Disember lalu.
Mohd Yusof berkata, bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kerajaan diharapkan dapat menangguhkan sebarang kenaikan harga barangan mahupun tarif perkhidmatan.
“Biasanya apa yang dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup adalah dari segi peningkatan harga, tidak kiralah barangan atau perkhidmatan.
“Pada 2016, keadaan ekonomi berada dalam keadaan yang meleset, jadi kita harap kerajaan dapat mencari jalan  menyelesaikan isu-isu yang sedang berlaku sekarang seperti nilai mata wang negara yang masih rendah.
“Jika masalah ini dapat diatasi, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, rakyat  dinasihatkan   menguruskan hal kewangan dengan baik.
“Apa juga pendapatan yang kita ada, ia harus digunakan dengan baik sebagai langkah bersiap sedia.
“Rakyat perlu berbelanja secara bersederhana dengan hanya membeli barangan keperluan tertentu sahaja dan selebihnya disimpan kerana kita tidak dapat meramal apa yang berlaku pada masa akan datang,” katanya. Sumber : Sinar Harian 
Admin - 
Dijangka meningkat atau sudah meningkat? 
Tepuk dada tanya poket kerana anda sendiri yang berbelanja.

Penyelesaian :-
1. Berjimat selagi mampu
2. Cari pendapatan kedua, ketiga
3. Hijrah ke tempat yang lain yang menawarkan kos sara hidup yang rendah.(boleh ke?)

4. (Boleh tambah ikut pandangan)


No comments :

Post a Comment